Pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijarah ketika Rasulullah s.a.w. mengerjakan
ibadah haji yang terakhir, baginda menyampaikan Khutbah Wida di Lembah
Uranah, Bukit Arafah. Mesejnya adalah untuk umat manusia (Islam dan
bukan Islam)
Wahai manusia, dengarlah
baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku
dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu,
dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada
orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini
sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai
amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada
pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain
tidak menyakiti kamu lagi.
Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti
membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan
riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai
sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah
berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka
berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara
kecil.
Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka
juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak
mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan
pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan
baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka
adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka
ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak
sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah
Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan
tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji
sekiranya kamu mampu.
Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain.
Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang
lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.
Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk
dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh
itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan
kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku
dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah
dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada
kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang
sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu
tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada
orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka
yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku
sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.
No comments:
Post a Comment